9.18.2010

Bahayanya Ilmu



Islam menyuruh kita belajar. Islam mahu seseorang
Muslim itu, lelaki mahupun perempuan supaya
menuntut ilmu. Tak boleh berhenti. Mencari ilmu bermula dari dalam buaian hinggalah ke liang lahad. Hendak dunia kena ada ilmu, hendak Akhirat pun kena ada ilmu. Tidak sama orang yang ada ilmu itu dengan orang yang tidak ada ilmu. Tuhan mengangkat orang yang ada ilmu itu beberapa darjat.Orang yang ada ilmu itu kekasih Tuhan. Orang yang jahil itu
musuh dan seteru Tuhan.

Kalau begitulah kedudukan ilmu dalam Islam, kenapa pula
ianya boleh jadi bahaya? Ini kerana ilmu itu ibarat pedang. Ilmu
itu adalah senjata. Itu sebab Islam menyuruh kita mencari ilmu
supaya kita mempunyai dan memiliki senjata.
Tapi ada senjata sahaja tidak cukup. Kita kena tahu bagaimana
cara hendak menggunakan senjata itu. Kalau tersalah guna, kita
boleh membahayakan diri kita dan juga orang lain. Lebih-lebih
lagilah kalau orang yang ada senjata itu orang jahat. Akan digunakan
senjata Pedang tidak salah. Senjata tidak salah. Tetapi tuan
punya pedang mungkin menyalahgunakannya. Di situlah letaknya
bahaya ilmu. Bukan pada ilmunya tetapi pada pemiliknya.
Seperti juga dalam angkatan tentera dan pasukan polis, bukan
sahaja kemahiran mengguna senjata ditekankan pada anggotanya
tetapi soal disiplin dan tata tertib juga sangat diambil berat. Ini
untuk menjamin senjata api yang ada di tangan anggota tentera
dan polis tidak disalahgunakan. Kalau digunakan, ianya khusus
untuk menjaga keselamatan dan untuk menumpaskan musuh
masyarakat dan musuh negara.

Begitu juga adalah sangat bahaya kalau orang yang ada ilmu
itu tidak kenal Tuhan. Sebab orang yang tidak kenal Tuhan bukannya
orang yang baik. Orang yang ada ilmu, walaupun ilmu
agama atau ilmu Islam sekalipun, kalau dia tidak kenal Tuhan,
dia akan menyalahgunakan ilmunya itu. Apabila Tuhan dia tidak
kenal, dia akan melupakan Tuhan. Dia akan tinggalkan Tuhan.
Akhirnya dia akan kehilangan Tuhan. Dia seolah-olah hidup
tanpa Tuhan.

Apabila Tuhan yang hak sudah tidak wujud lagi dalam hidupnya,
maka tuhan yang palsu akan mengambil alih. Dia akan
menabalkan dirinya sendiri sebagai tuhan. Secara tepatnya, dia
akan mengangkat nafsunya menjadi tuhan. Apa pun yang dia
buat selepas itu adalah berpandukan kehendak dan kemahuan
nafsunya semata-mata. Nafsunyalah yang menjadi tunggak dan
pendorong utama dalam hidupnya. Kita tahu bahawa nafsu
hanya berkehendak. Dia tidak kira halal atau haram. Hak atau
batil. Dosa atau pahala.

Justeru itu, segala ilmu yang ada padanya, walaupun ilmu
usuluddin, ilmu syariat, ilmu tasawuf, ilmu hadith, ilmu tafsir
dan sebagaiya, lebih-lebih lagilah ilmu yang berbentuk duniawi
akan digunakannya hanya untuk memburu dunia. Ilmu itu akan
digunakan untuk mendapat wang dan imbuhan, untuk mendapat
pangkat dan jawatan, untuk glamour, untuk mendapat pujian
dan populariti, untuk bermegah-megah, untuk mendapat pengaruh
dan bermacam-macam lagi kepentingan yang berbentuk
peribadi dan duniawi.

Ilmu bukan lagi untuk menghampirkan dirinya pada Tuhan.
Bukan lagi untuk mengabdikan diri dan berbakti pada Tuhan.
Bukan lagi untuk berlaku taat dan bertaqwa kepada Tuhan. Ilmu,
termasuk ilmu agama dan ilmu Islam akan dijadikan modal
untuk mencari nafkah dan sara hidup, untuk mengumpul harta
dan kekayaan dan untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan
dunia yang sedikit.

Dengan itu, ilmu terutamanya ilmu agama dan ilmu Islam,
mudah sahaja diselewengkan, disorok, disalahtafsir, diubah-suai,
diringan-ringankan dan dipadankan mengikut kehendak pihakpihak
tertentu demi untuk menentukan keuntungan duniawinya
tidak terjejas. Ia tidak lagi dijadikan panduan atau petunjuk.
Akhirnya masyarakat jadi rosak, agama jadi rosak, negara jadi
rosak, manusia bertambah jauh dari Tuhan dan bertambah jahat.
Orang yang ada ilmu terutama ilmu agama yang tidak kenal
Tuhan ini dinamakan ulamak suk atau ulamak jahat. Rasulullah
menyuruh kita lari daripada ulamak macam ini seperti mana kita
lari dari harimau atau singa yang ganas. Mereka ini lebih bahaya
dari harimau dan singa.

Itulah sebabnya juga Islam sangat menekankan tentang
“Awaluddin ma’rifatullah” atau “Awal-awal agama mengenal
Allah”. Kalau Allah kita tidak kenal, maka segala apa yang ada
pada kita termasuk ilmu, ibadah, usaha dan kebaikan kita tidak
ada makna apa-apa. Kita tidak akan mampu berbuat sesuatu apa
pun dan menggunakan apa yang ada pada diri kita untuk Tuhan.
Kita akan jadi orang yang hanya menggunakan ilmu dan apa
sahaja yang ada pada diri kita mengikut kehendak hawa nafsu
kita sahaja.

Sumber : Suhaimi Abdul Rahim

No comments: