10.07.2009

Carilah yang CANTIK! [Bhgn Terakhir]

CINTA KASIH

Nabi s.a.w bersabda:
”…Cinta kasihlah kepada manusia sebagai engkau sayang
(dan cinta kasih) kepada dirimu sendiri,
nescaya engkau jadi orang Islam yang hakiki”
KASIH SAYANG
Untuk mendapat kasih sayang, anda tidak perlu cantik.
Tetapi apa yang penting ialah berikanlah kasih sayang.
Jika anda mula memberi misalnya, insya-Allah anda akan
menerimanya semula nanti.
Rupa sesebuah keluarga bukanlah terletak hanya pada
wajah anggota keluarga itu, tetapi yang lebih penting
ialah pada akhlak dan kebaikan yang boleh diamalkan
hingga menjadi identiti keluarga tersebut.
Anda tidak boleh mengubah wajah anda,
tetapi anda boleh mengubah kelakuan anda.
Dari buruk kepada yang baik,
dari baik kepada yang lebih baik…
Insya –Allah.
Ramai orang cantik pada mulanya,
tetapi apabila kita mula bercakap dan bergaul
dengannya kita sudah tidak mengkagumi lagi kecantikannya.
Sudah ditenggelamkan oleh mulutnya yang celupar,
sikapnya yang kasar.
Tetapi berapa ramai orang yang mukanya buruk dan
sederhana sahaja tetapi apabila kita dekati dan
bergaul dengannya, semakin hari semakin menawan pula.
Anda boleh menjadi orang itu… dan percayalah anda akan
disayangi bukan sahaja oleh keluarga anda
bahkan oleh orang lain juga.

*********

JANGAN RESAH

Jadi bagi wanita yang tidak cantik pada ukuran manusia
jangan hilang bahagia atau resah jiwa.
Allah Maha Adil.
Sekiranya hanya wanita yang cantik layak mendapat cinta,
yang buruk tidak… maka di mana keadilan
Tuhan Yang Maha Pengasih.
Tetapi subhanallah, yang buruk wajah pun
mampu menikmati cinta… malah cinta yang lebih suci
kerana pada mereka ada kecantikan sejati sekiranya berakhlak baik.
Kadangkala terdengar wanita mengeluh,
“Ah, lelaki hanya tertarik pada wajah saya yang cantik…
saya tidak pernah mendapat cinta sejati.”
(ingat lagi keluhan Lady D yang ‘berpindah’ dari
seorang lelaki kepada seorang lelaki kerana memburu cinta sejati?)
tapi jika difikirkan, wanita itu juga yang salah.
Jika kita ‘memancing’ menggunakan umpan ‘kecantikan’
maka tidak hairan kalau ‘jerung’ yang rakuskan
kecantikan yang akan kita dapat.
Samalah kalau lelaki ‘mengumpan’ wanita dengan wang,
jangan pelik kalau yang dating nanti wanita pisau cukur…
tetapi jika kita jadi wanita yang berakhlak,
maka lelaki yang berakhlak juga akan mendekati kita.
Begitulah sifirnya.
Kata orang, what you see is what you get;
apa yang kita lihat, itulah apa yang kita dapat.
Kalau pandangan kita tepat,
maka apa yang akan kita dapat adalah baik.
Sebaiknya, jika pandangan kita kabur,
maka apa yang kita dapat ialah buruk.
Pandangan yang paling tepat ialah pandangan yang diselaraskan dengan penilaian Allah.
Apa yang Allah kata cantik, maka itu jugalah yang kita kata cantik.
Maka insya-Allah, kita akan mendapat kecantikan itu.

*******

PILIHLAH AGAMANYA

Harta, rupa,darjat dam agama (akhlak)-
adalah empat pandangan manusia dalam mencintai wanita.
Tetapi sabda Rasulullah, pilih yang baik agamanya (akhlaknya).
Walaupun kadangkala kita hanya menerima panduan Rasulullah
ini semata-mata dengan akal (percaya itulah yang benar)
tetapi bermujahadahlah​… lawan-lawanlah hati,
pilihlah yang baik budi walaupun tak cantik ‘body’;
insyaallah kita tidak akan menyesal.
Yang cantik ‘body’ kalau dipilih,
memang senang awalnya di mata, tetapi sakit nantinya di hati.
Akan tiba waktunya (bila dah tua) sakit juga di mata,
semakin sakit pula di hati.
Tetapi jika yang kita pilih yang canti ‘budi’,
mulanya mujahadahlah, sakit di mata, tetapi cepat senangnya di hati.
Dan lambat-laun, akan senang juga di mata,
senang juga di hati.
Kita tidak boleh mengubah sesuatu yang kita lihat,
tetapi kita boleh mengubah diri kita yang melihatnya.
Jika kita tak dapat apa yang kita suka,
maka langkah terbaik ialah sukalah apa yang kita dapat.
Itulah syukur namanya!
Mungkin para remaja akan mencemuh, ini hanya teori.
Silap tu, ini bukan teori tetapi pengalaman ramai orang.
Tanyalah orang yang lebih tua di sekeliling anda,
anda akan mendapat jawapan yang pasti.
Buka telinga, tutup mata, celikkan mata hati;
anda tidak payah menjadi kelkatu yang terus-menerus
menghantukkan kepala pada lampu untuk mengetahui
sendiri apakah itu cahaya?
Sedangkan ribuan kawannya sudah pun menjadi korban
di bawah lampu itu.
Jika kita boleh belajar dari pengalaman pahit orang lain,
kenapa perlu kita merasai kepahitan itu sendiri
untuk belajar?
Ingatlah, yang baik itu cantik tetapi yang cantik itu
tidak semestinya baik!

KECANTIKAN
“kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan
ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya”

10.02.2009

Carilah yang CANTIK! [Bhgn Kedua]

Alhamdulillah.​.​dapat lagi ana sambung topik ini..
Semoga sedikit sebanyak ia mampu menginsafkan diri,
terus ke arah perlakuan yang hakiki..
Manusia takkan berhenti mencari yang cantik..
tapi cantik yang bagaimana?

KECANTIKAN MEMBINASAKAN

Kenapa ramai wanita yang memiliki rupa tetapi musnah hidupnya?
Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa
jika wanita mula merasai dirinya cantik dan berbangga
dengan kecantikannya.
Sejauh mana benarnya, wallahua’lam.
Tetapi apa yang pasti,
menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat,
maka pemiliknya akan hilang kawalan diri.
Dia akan rosak dan merosakkan orang lain.
Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh
syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran.
Lihatlah di sekeliling kita.
Sudah menjadi sesuatu lumrah, wanita yang cantik
selalu diperalatkan, diperagakan atas tujuan-tujuan
komersil dan lain-lain.
Mereka rasa bangga tanpa menyedari hakikatnya mereka cuma
‘bidak’ atau ‘barang permainan’ kepada dalang-dalang berkepentingan.​
Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan kearah kejahatan
dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan
diri pemiliknya dan orang lain.
Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada sebahagian artis Barat,
ada yang memporak-​perandakan Negara,
rumahtangga dan berakhir dengan bunuh diri.
Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan
kecantikan itulah yang salah.
Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak.
Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi.
Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat.
Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman Rasullullah s.a.w
seperti Ummahatul Mukminin Siti Aisyah r.ha, Atikah binti Zaid dan lain-lain.

*******

KECANTIKAN SEJATI


Bagaimana mendapat kecantikan sejati?
Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar.
Bukan sebaliknya.
Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita
iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat
dan penghayatan yang tinggi.
Kemudian iman ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik.
Susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik.
Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat
atau peraturan Tuhan.
Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan,
akan berbuahlah akhlak yang mulia.
Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali.
Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki.
Biar buruk rupa, tapi jangan buruk perangai.
Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?
Apa gunanya wajah yang cantik kalau mendedahkan aurat?

*******

MAHKOTA WANITA

Kata orang, rambut itu mahkota wanita tetapi sayangnya
ia terpaksa ditutup apabila menutup aurat.
Bukankah ini seolah-olah menutup kecantikan wanita?
Ingin ditegaskan bahawa kecantikan itu tidak seluruhnya
terletak pada rambut, hingga menutup rambut boleh
menghilangkan kecantikan wanita.
Ya, memang rambut mahkota wanita…justeru mahkotalah
ia tidak boleh dipamerkan sesuka hati.
Hanya ratu yang memakai mahkota.
Ratu hanya memakai mahkota dalam majlis-majlis tertentu,
dihadapan orang-orang tertentu.
Dia tidak memakai mahkotanya ke pasar-pasar,
ke tempat-tempat awam,
kerana takut akan ada orang yang merompak atau merosakkannya.
Begitulah rambut kepada wanita,
jika ia dianggap mahkota maka ia perlu disimpan dengan baik.
Ditutup dengan kain yang sopan.
Dan wanita solehah adalah ratu yang hanya mempamerkannya
kepada orang yang berhak yakni suaminya.
Tidak, kecantikan wanita tidak akan terlindung
hanya dengan dia memakai tudungnya, kerana ada banyak lagi yang boleh dipamerkannya…m​isalnya kecantikan tutur kata,
tingkah laku dan budi pekerti yang boleh diserlahkan.
Bagaimana masih boleh kelihatan cantik walaupun
telah menutup aurat?
Seperti yang saya katakan tadi,
jagalah hal-hal yang lain yang boleh buat muka kita bersih
dan pandangan kita lembut.
Bahagian muka dan tangan yang dibenarkan
bolehlah dijaga dengan sebaik-​baiknya.​
Begitu juga dengan kekemasan pakaian.
Janganlah menutup aurat sahaja yang dipertahankan
tetapi kebersihan dan kekemasannya diabaikan.
Itu juga menjadi kewajiban.
Memang wanita muslim dilarang memakai haruman yang kuat,
tetapi janganlah sampai berbau busuk pula.
Walaupun anda tidak memiliki wajah yang cantik tetapi
itu tidaklah bermakna anda harus merasa malu.
Ini kerana anda mesti punya kelebihan tersendiri yang
boleh menarik hati orang lain kepada anda.

Apakah kelebihan itu?
Ya, anda sendiri mesti mengetahuinya dan itulah
nanti yang anda perlu manfaatkan untuk membuang rasa malu
tidak bertempat yang bersinggah di hati anda sekarang.
Ingatlah, bijak pandai ada berkata:
“Tuhan tidak menciptakan manusia hodoh, tetapi Tuhan mencipta manusia dengan kecantikan berbeza”

[bersambung..]

10.01.2009

::: Carilah Yang Cantik :::

“Betapa cinta pun seseorang itu terhadap perempuan cantik,
kalau difikirkan akhir akibat perempuan itu akan kuranglah cintanya”

-PAK HAMKA-


Carilah yang cantik…

“Tidak ada wanita hodoh,hanya kecantikan yang berbeza”
Itulah hakikat sebenar yang sebahagiannya masih tak sedar..
Masih tak bersyukur yang tiap manusia itu Allah kurniakan kecantikan
yang dicari guna mata hati..
Inginkan kecantikan dan suka pada kecantikan tidak menjadi satu kesalahan.
Ia adalah fitrah semulajadi manusia.
Semua orang, tidak kira yang cantik ataupun yang hodoh, sukakan kecantikan.
Bukan itu sahaja, Tuhan yang kita sembah itu pun sangat cantik.
Kamal (sempurna), Jamal (cantik), Jalal (agung) adalah sifat Tuhan.
Rasullullah s.a.w menegaskan dalam satu hadisnya,
Allah itu indah dan suka pada keindahan.
Keindahan Allah terletak pada sifat-sifat kesempurnaan-​Nya.​
Bila sesuatu sempurna maka tentulah ia indah.
Lantaran itulah Allah itu sangat indah – pada nama, penciptaan
dan sifat-Nya
Justeru DIAlah yang paling sempurna.

**********

Allah juga cinta pada keindahan, sebab itulah Islam yang
diturunkan oleh Allah untuk menjadi anutan manusia ini
juga sangat indah.
Dan salah satu ciri keindahan Islam ialah ajarannya sangat sesuai
dengan fitrah semulajadi manusia.
Manusia suka cantik.
Islam juga begitu.
Manusia suka baik.
Islam juga begitu.
Jika ada orang yang mengatakan Islam itu tidak indah,
bukan Islam yang tidak indah tetapi jiwa orang itu yang tidak indah.
Umpama kelawar yang tidak dapat melihat di siang hari,
bukan kerana siang itu gelap, tetapi mata kelawar yang
tidak mampu menatap terangnya siang.
Atau bagai mentari yang tak mampu dilihat dengan mata kasar
kerana ia terlalu terang!
Begitu jugalah ciptaan Tuhan Pencipta dunia ini tidak dapat
dilihat kerana Dia sangat indah.
Bahkan alam ciptaan Allah ini juga sangat indah,
hingga ramai manusia sangat terpesona dengan keindahan dunia
sehingga terhijab melihat keindahan Penciptanya.

*********

CIPTAAN ALLAH


Baiklah, wanita juga adalah ciptaan Allah,
dan tentu sahaja wanita cantik.
Soalnya, dimanakah letaknya kecantikan sebenar
pada seorang wanita?
Kalau kita tanyakan kepada manusia,
maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan.
Ada yang merasakan kecantikan wanita itu pada wajah,
pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.
Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terdapat
pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak
pada hidung, pada mata dan sebagainya.
Pendek kata, sesetengah beranggapan bahawa kecantikan itu
sangat relative sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.
Cantik itu relatif atau nisbi sifatnya, dakwah mereka.
Benarkah begitu?
Sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur
tersendiri untuk menilai kecantikan.
Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut
kayu ukur Islam.
Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam
adalah lebih hakiki dan ‘ori’.
Misalnya,​kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah,
wajah itu lambat-laun akan dimakan usia.
Itu hanya bersifat sementara.
Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah
tidak cantik lagi.
Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.

*********

NILAIAN ISLAM


Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras
dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai
oleh-Nya adalah lebih tepat dan benar.
Jika kita menilainya mungkin tersalah,
tetapi penilaian Allah pasti tepat.
Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu?
Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti
ataupun akhlak.
Kecantikan ini jika ada pada diri seseorang,
maka ia lebih kekal.
Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah.
Rasullullah s.a.w bersabda:
”mukmin yang terbaik adalah yang terbaik akhlaknya”
Dan kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi.
Justeru, kata pepatah, hutang budi dibawa mati.
Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia.
Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik
tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.
Ya, mata menilai kecantikan pada rupa.
Akal menilai pada fikiran.
Nafsu menilai pada bentuk tubuh.
Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi.
Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang.
Katalah orang yang jujur, siapa pun suka.
Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu.
Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia
tetap tidak sama.
Ada orang suka yang hitam manis,
manakala ada pula yang sukakan putih kuning.
Sebab itu ada ungkapan yang mengatakan,
“Beauty is in the eye of the beholder”.
Rasullullah s.a.w juga telah pernah menegaskan,
sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.
Wanita solehah ialah perhiasan rumahtangga,
perhiasan masyarakat dan perhiasan Negara.
Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat.
Mereka akan terdidik dengan baik.
Jika isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat.
Para isteri ini akan memudahkan urusan rumahtangga,
menjalinkan hubungan keluarga dengan penuh kasih sayang
dan lain-lain.
Tutur katanya baik, senyumannya menawan dan
segala-galanya indah…mereka adalah bayangan bidadari syurga di dunia ini.

BERSAMBUNG....