12.01.2009

::: MAHAAD QIRAAT AL-AZHAR SHOUBRA :::

1) PENGENALAN

Mahaad Qiraat Al-Azhar merupakan salah sebuah institusi pengajian yang dikelolakan oleh Badan Pendidikan Al-Azhar. Mahaad ini menawarkan kursus – kursus pengajian pengkhususan -QIraat disamping pengajian ilmu – ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran dan pengajian Islam. Kursus –kursus yang diperkenalkan adalah sepenuh masa mengikut peringkat kursus pengajian yang ditawarkan.

Mahaad Qiraat Al-Azhar diwujudkan bertujuan untuk melahirkan golongan ilmuan iktisas dan separa iktisas dalam pengajian Qiraat serta ilmu-ilmu khusus Al-Quran seiring dengan tuntutan fardu kifayah.

Dalam usaha Al-Azhar memenuhi tuntutan syariat Islamiah memelihara Al-Quran , Mahaad Qiraat dibuka kepada penghafaz-penghafaz Al-Quran dari seluruh dunia Islam demi kepentingan umat Islam sejagat.

Sesungguhnya jaminan Allah S.W.T terhadap kesucian Al-Quran dari sebarang bentuk penyelewengan oleh musuh-musuh Islam menjadi satu inspirasi Al-Azhar sebagai sebuah badan Islam yang diakui oleh seluruh Dunia Islam bertanggungjawab dalam melangsungkan penubuhan Mahaad Qiraat Al-Azhar sebagai pusat utama penyebaran pengajian Al-Quran dan Al-Qiraat serta ilmu-ilmu Al-Quran yang ada didunia ini. Firman Allah s.w.t mafhumnya : “ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya.’’ (Surah Al-Hijr : 9 )


2 ) PENUBUHAN

Pengajian Qiraat telah menempa era pembangunan ilmu dalam sejarah Al-Azhar sebagai Badan Pendidikan yang terulung di dunia dengan penubuhan Mahaad Qiraat Al-Azhar pada tahun 1945 di Masjid Khazandarah, Shoubra. Penubuhan tersebut secara langsung meletakkan pengajian QIraat setanding dengan pengajian – pengajian ilmu Islam yang lebih maju menurut perspektif pembangunan ilmu Islam itu sendiri.

Sesungguhnya usaha suci Al-Azhar untuk melahirkan Masyaiekhul Qiraat sebagai golongan Ulul Albab yang meneruskan tuntutan syariat mendidik umat Islam melalui bacaan Al-Quran yang mutawatir dan memelihara kesahihan bacaan Al-Quran itu harus diberi penghormatan oleh umat Islam di seluruh dunia.

3 ) SISTEM PENGAJIAN

Mahaad Qiraat Al-Azhar mempunyai sistem pengajian tersendiri yang dibentuk oleh Al-Azhar berdasarkan kaedah salafi yang menggabungkan pengetahuan usul Al-Quran dan Qiraat dengan kemahiran menguasai pembacaan Al-Quran yang praktikal secara hafaz sebagai pra syarat mutlak kelayakan.

Penekanan dari sudut hafazan dan ingatan serta pendedahan yang luas memahami kaedah talaqi dan musyafahah yang mendasari rukun Al-Quran yang sahih, insyaAllah melahirkan lulusan berketrampilan tinggi dan mantap sebagai penyumbang utama pada umat Islam kearah merealisasikan pembacaan Al-Quran yang mutawatir lagi sahih.

Pusat pengajian Qiraat Al-Azhar yang begitu peka kepada tuntutan umat Islam terhadap anak-anak Islam yang bernaung di bawahnya yang penuh berkat dengan Al-Quran turut dibekalkan dengan pengajian ilmu-ilmu khusus Al-Quran seperti Ulum Al-Quran, Al-Fawasil , Resam Al-Quran , Dhobt Al-Quran, Tarikh Qurra’ , Tajwid dan lain-lain yang berhubung dengan Al-Quran serta ilmu – ilmu yang menjadi teras pengajian Islam secara nisbi.

4 ) PERINGKAT PENGAJIAN

Pusat pengajian Qiraat Al-Azhar menawarkan tiga peringkat khusus pengajian yang utama sepenuh masa. Tempoh pengajian yang ditawarkan mengikut peringkat kursus adalah seperti berikut :

I ) KURSUS PRA PENGAJIAN AL-QURAN ( MUSTAWA TAJWID )

Tempoh pengajian diperingkat ini selama 2 tahun sahaja. Kursus peringkat ini merupakan peringkat matrikulasi yang memperkenalkan pengajian Tajwid secara khusus mengikut riwayat Imam Hafs Yang dinaqalkan dari Imam A’sim berdasarkan Riwayat Imam Syatibi dan kaedah Al-Imam Ahmad Ibnu Al-Jazari . Dalam tempoh kursus tersebut , pendedahan diberi dalam membahas dan mengkaji methodology kedua-dua imam tersebut serta perbandingan yang menyeluruh disamping bahasa Al-Quran serta ilmu pengajian Islam.

II ) KURSUS PENGAJIAN TINGGI AL-QURAN ( MUSTAWA A’LIAH )

Tempoh pengajian diperingkat ini selama tiga tahun. Sepanjang tempoh pengajian , pengetahuan dan pengajian dari aspek-aspek pembacaan Al-Quran yang sahih diperkenalkan mengikut riwayat Imam Al-Syatibi dan riwayat-riwayat Imam yang masyur berdasarkan kaedah Al-Imam Ahmad Ibnu Al-Jazari. Pembahasan dan pengajian terhadap methodologi Al-Qiraat yang dibawa oleh para imam Qiraat mutawatir dan imam – imam yang masyhur mengikut satu kaedah yang khusus dan berasingan disamping pengajian ilmu khusus Al-Quran dan pengajian Islam.


III ) KURSUS PENGAJIAN QIRAAT KHUSUS ( MUSTAWA TAKHASSSUS )

Tempoh pengajian ditahap ini selama tiga tahun. Kursus ini merupakan pengajian khusus QIraat yang kolektif dan lebih praktikal terhadap bentuk pembacaan Al-Quran yang sahih mengikut riwayat imam-imam Qiraat yang mutawatir dan masyhur berdasarkan kaedah Al-Imam Ahmad Ibnu Al-Jazari. Dalam mengkaji dan mendalami methodology Al-Qiraat yang dibawa oleh imam-imam Qiraat terhadap rangkaian bentuk pembacaan dan bacaan yang bentuk mutawatir dan yang masyhur berdasarkan dua kaedah cara yang menyeluruh , sejarah imam-imam Qiraat dan methodologinya serta Qiraat As-Syazzah turut diperkenalkan sebagai pengajian perbandingan Al-QIraat.
Kajian dan pengajian terhadap ilmu-ilmu khusus pengajian Al-Quran dan Al-Qiraat dibahas secara terperinci dari sudut keperluan umat Islam terhadap mukjizat agung Rasulullah S.A.W yang menzahirkan keharmonian dan keagungan Islam sebagai satu cara hidup yang kamil dan mutakamil mengikut perspektif Al-Qiraat di samping ilmu-ilmu pengajian Islam. Bagi memantapkan tahap daya keterampilan dalam menguasai pengajian Al-Quran dan Al-Qiraat serta pendekatannya dalam bidang tersebut , pengajian nisbi latihan pengurusan pendidikan Al-Quran turut diadakan sebagai persiapan menghadapi medan bakti dengan penuh yakin dan berwibawa berbekalkan manfaat ilmu yang berkat.

5 ) PENUTUP

Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T Mahaad Qirrat Al-Azhar meneruskan sumbangan bakti sucinya kepada umat Islam seluruh dunia bagi melahirkan golongan ilmuan Al-Quran dan Al-Qiraat dalam membantu kemantapan dan keutuhan ilmuan Islam.

Suatu yang tidak dapat dinafikan dalam lipatan sejarah peradaban ilmu-ilmu Islam , Qiraat merupakan antara bidang ilmu Islam yang mulia serta terulung dalam memahami kesucian Islam. Mukjizat Nabi Muhammad S.A.W yang terpelihara dari sebarang bentuk penyelewengan hingga hari kiamat.

Al-Azhar sebagai badan Islam yang menerajui institusi –institusi pendidikan dunia Islam terus meyakinkan umat Islam terhadap kewibawaan Mahaad Qiraat Al-Azhar sebagai sebuah pusat pengajian Al-Quran dan Qiraat yang unggul dan terulung di dunia.

Mudah –muadahan dengan keberkatan Al-Quran dan kemuliannya , Mahaad Qiraat Al-Azhar akan terus dikunjungi oleh penghafaz-penghafaz Al-Quran seluruh dunia sebagai waris ilmu yang paling berharga.

Firman Allah S.W.T mafhumnya : Kemudian kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dikalangan hamba-hamba Kami , maka diantara mereka ada yang berlaku zalim terhadap diri sendiri, dan di antara mereka ada yang bersikap sederhana , dan ada di antara mereka pula ada yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah . Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar ( daripada Allah semata-mata ).

No comments: