10.07.2009

Carilah yang CANTIK! [Bhgn Terakhir]

CINTA KASIH

Nabi s.a.w bersabda:
”…Cinta kasihlah kepada manusia sebagai engkau sayang
(dan cinta kasih) kepada dirimu sendiri,
nescaya engkau jadi orang Islam yang hakiki”
KASIH SAYANG
Untuk mendapat kasih sayang, anda tidak perlu cantik.
Tetapi apa yang penting ialah berikanlah kasih sayang.
Jika anda mula memberi misalnya, insya-Allah anda akan
menerimanya semula nanti.
Rupa sesebuah keluarga bukanlah terletak hanya pada
wajah anggota keluarga itu, tetapi yang lebih penting
ialah pada akhlak dan kebaikan yang boleh diamalkan
hingga menjadi identiti keluarga tersebut.
Anda tidak boleh mengubah wajah anda,
tetapi anda boleh mengubah kelakuan anda.
Dari buruk kepada yang baik,
dari baik kepada yang lebih baik…
Insya –Allah.
Ramai orang cantik pada mulanya,
tetapi apabila kita mula bercakap dan bergaul
dengannya kita sudah tidak mengkagumi lagi kecantikannya.
Sudah ditenggelamkan oleh mulutnya yang celupar,
sikapnya yang kasar.
Tetapi berapa ramai orang yang mukanya buruk dan
sederhana sahaja tetapi apabila kita dekati dan
bergaul dengannya, semakin hari semakin menawan pula.
Anda boleh menjadi orang itu… dan percayalah anda akan
disayangi bukan sahaja oleh keluarga anda
bahkan oleh orang lain juga.

*********

JANGAN RESAH

Jadi bagi wanita yang tidak cantik pada ukuran manusia
jangan hilang bahagia atau resah jiwa.
Allah Maha Adil.
Sekiranya hanya wanita yang cantik layak mendapat cinta,
yang buruk tidak… maka di mana keadilan
Tuhan Yang Maha Pengasih.
Tetapi subhanallah, yang buruk wajah pun
mampu menikmati cinta… malah cinta yang lebih suci
kerana pada mereka ada kecantikan sejati sekiranya berakhlak baik.
Kadangkala terdengar wanita mengeluh,
“Ah, lelaki hanya tertarik pada wajah saya yang cantik…
saya tidak pernah mendapat cinta sejati.”
(ingat lagi keluhan Lady D yang ‘berpindah’ dari
seorang lelaki kepada seorang lelaki kerana memburu cinta sejati?)
tapi jika difikirkan, wanita itu juga yang salah.
Jika kita ‘memancing’ menggunakan umpan ‘kecantikan’
maka tidak hairan kalau ‘jerung’ yang rakuskan
kecantikan yang akan kita dapat.
Samalah kalau lelaki ‘mengumpan’ wanita dengan wang,
jangan pelik kalau yang dating nanti wanita pisau cukur…
tetapi jika kita jadi wanita yang berakhlak,
maka lelaki yang berakhlak juga akan mendekati kita.
Begitulah sifirnya.
Kata orang, what you see is what you get;
apa yang kita lihat, itulah apa yang kita dapat.
Kalau pandangan kita tepat,
maka apa yang akan kita dapat adalah baik.
Sebaiknya, jika pandangan kita kabur,
maka apa yang kita dapat ialah buruk.
Pandangan yang paling tepat ialah pandangan yang diselaraskan dengan penilaian Allah.
Apa yang Allah kata cantik, maka itu jugalah yang kita kata cantik.
Maka insya-Allah, kita akan mendapat kecantikan itu.

*******

PILIHLAH AGAMANYA

Harta, rupa,darjat dam agama (akhlak)-
adalah empat pandangan manusia dalam mencintai wanita.
Tetapi sabda Rasulullah, pilih yang baik agamanya (akhlaknya).
Walaupun kadangkala kita hanya menerima panduan Rasulullah
ini semata-mata dengan akal (percaya itulah yang benar)
tetapi bermujahadahlah​… lawan-lawanlah hati,
pilihlah yang baik budi walaupun tak cantik ‘body’;
insyaallah kita tidak akan menyesal.
Yang cantik ‘body’ kalau dipilih,
memang senang awalnya di mata, tetapi sakit nantinya di hati.
Akan tiba waktunya (bila dah tua) sakit juga di mata,
semakin sakit pula di hati.
Tetapi jika yang kita pilih yang canti ‘budi’,
mulanya mujahadahlah, sakit di mata, tetapi cepat senangnya di hati.
Dan lambat-laun, akan senang juga di mata,
senang juga di hati.
Kita tidak boleh mengubah sesuatu yang kita lihat,
tetapi kita boleh mengubah diri kita yang melihatnya.
Jika kita tak dapat apa yang kita suka,
maka langkah terbaik ialah sukalah apa yang kita dapat.
Itulah syukur namanya!
Mungkin para remaja akan mencemuh, ini hanya teori.
Silap tu, ini bukan teori tetapi pengalaman ramai orang.
Tanyalah orang yang lebih tua di sekeliling anda,
anda akan mendapat jawapan yang pasti.
Buka telinga, tutup mata, celikkan mata hati;
anda tidak payah menjadi kelkatu yang terus-menerus
menghantukkan kepala pada lampu untuk mengetahui
sendiri apakah itu cahaya?
Sedangkan ribuan kawannya sudah pun menjadi korban
di bawah lampu itu.
Jika kita boleh belajar dari pengalaman pahit orang lain,
kenapa perlu kita merasai kepahitan itu sendiri
untuk belajar?
Ingatlah, yang baik itu cantik tetapi yang cantik itu
tidak semestinya baik!

KECANTIKAN
“kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan
ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya”

No comments: