5.02.2009

Selamat Hari Ibu…Engkaulah Permata Hati Kami…

Tanggal minggu ke-2 bulan MEI setiap tahun merupakan hari yang cukup bermakna buat diri ana yang bergelar anak dan semua yang mempunyai mama,ibu,ummi, dan pelbagai panggilan yang mulia buat bonda tercinta. Walaupun tarikh ini berlainan di Negara-negara lain tetapi ia tetap disambut setiap tahun untuk menghargai jasa dan pengorbanan yang bergelar bonda.

Mungkin kita sedia maklum bahawa ‘Hari Ibu ‘diperkenalkan oleh masyarakat barat yang mana untuk memberikan penghormatan kepada kaum ibu.
Kenapa hari ibu diraikan??? Sebenarnya , kita sebagai anak wajib menghormati dan meraikan ibu bukan pada hari tertentu sahaja malah kita seharusnya meraikan setiap hari adalah hari ibu.Mungkin dengan adanya hari seperti ini ibu-ibu lebih dihargai lagi dihormati. Islam tidak menghalang umatnya meraikan ‘Hari Ibu’ malah menggalakkan kepada umatnya menghormati dan mengasihi ibu mereka sepertimana mereka mengasihi kita sejak kecil lagi.Kasih ibu sepanjang masa bilamana sejak didalam kandungan lagi ibu sanggup menahan kesakitan dengan penuh sabar. Apabila kita dilahirkan , ibu jugalah yang akan menjaga kita, apabila kita sakit, ibulah yang akan bersengkang mata untuk menjaga kita…amat besar pengorbanan ibu terhadap kita.Kasih ibu tiada bandingan dan tidak mampu dinilai dengan harta mahupun wang ringgit.Apa yang telah kita buat untuk membalas jasa ibu kita???

Pada zaman sekarang amat berlainan sekali bilama kita seringkali mendengar anak-anak lari dari rumah kerana tidak tahan leteran ibu yang seringkali bertanya apa sahaja yang hendak dibuat oleh anak mereka sehingga ada anak yang sanggup menggelar ibu mereka ‘peleter,radio buruk,dan rekod rosak’ kerana menghalang anak mereka dari melakukan perkara yang tidak berfaedah.Mereka seringkali tersalah tafsir yang mana sebenarnya ibu sentiasa bertanya kerana mereka risau akan keadaan anak mereka sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.Bukan bermaksud untuk mengongkong,bukan bermaksud hendak berleter,bukan bermaksud tidak sporting tetapi atas dasar sayang kepada anak-anak supaya menjadi insan yang berguna.Kasih dan sayangnya ibu terhadap anak sukar digambarkan kerana perasaan ini adalah kurniaan Allah kepada seorang wanita yang bergelar ibu.Keperitan dan kesusahan yang dirasai oleh ibu ketika mengandung dan membesarkan anak juga tidak dapat dibayangkan sehingga seseorang itu sendiri menjadi ibu.
Oleh itu, penghormatan terhadap ibu perlu diutamakan berbanding hak kepada seorang bapa.
Perkara ini berasaskan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang mafhumnya: Ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah s.a.w., lalu bertanya:

Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?
Baginda menjawab: Ibumu.
Lelaki itu kembali bertanya : Kemudian siapa?
Nabi menjawab: Ibumu.
Lelaki itu terus bertanya : Kemudian siapa?
Nabi menjawab lagi : Ibumu.
Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi?
Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu.

Begitulah kedudukan seorang ibu pada pandangan Rasulullah. Betapa mulianya seorang ibu hinggakan Nabi Muhammad meletakkannya sebagai pihak ketiga yang perlu dihormati selepas Allah dan Baginda. Kita juga pernah mendengar kata-kata, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Begitu pentingnya kita menghormati ibu bagi mendapat keredaan Allah. Islam menentang keras penganutnya menyergah atau menyakiti ibu sendiri, sekalipun dengan perkataan ah! Apa lagi, sekiranya seorang ibu itu dimaki-hamun atau disisihkan oleh anaknya sendiri. Allah berjanji bahawa setiap orang yang melakukan penderhakaan akan diberi pembalasan setimpal dengan perbuatan mereka sama ada di dunia atau akhirat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki. (Riwayat Nasa'i, Bazzar dan al-Hakim).

Al-Hakim juga meriwayatkan hadis Baginda yang bermaksud :
Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.
Dua kisah berikut cukup untuk mengingatkan kita supaya menghormati, menyayangi dan melebihkan ibu. Ia patut dijadikan iktibar supaya tidak sekali-kali menderhakai ibu.

l- Kisah yang berlaku kepada ahli ibadat daripada keturunan Bani Israel bernama Juraij.
Beliau berhadapan dengan fitnah besar hanya kerana mementingkan sembahyang sunat daripada menyahut panggilan ibunya. Akhirnya, beliau difitnah oleh seorang pelacur yang mendakwa mereka ada hubungan sulit hingga melahirkan anak. Mujurlah dengan kekuasaan Allah, bayi itu boleh bercakap dan menceritakan siapakah bapanya yang sebenar.

2- Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah juga perlu diinsafi kita supaya tidak menjadi anak derhaka.
Hanya kerana anaknya melebihkan isteri daripada dirinya, ibu Alqamah tidak mahu memaafkan anaknya hingga tertahan ketika sakratul maut. Rasulullah kemudian menyatakan sekiranya si ibu tidak mahu memaafkan anaknya yang sedang nazak itu, maka anak itu akan dibakar hidup-hidup. Membayangkan kesengsaraan anaknya yang akan dibakar hidup-hidup, hati si ibu menjadi luluh dan cair. Seterusnya, memaafkan dosa dan kesalahan anaknya. Akhirnya, Alqamah meninggal dunia dengan mendapat kemaafan ibunya dan mati dalam husnu al-khatimah.

Seseorang anak juga sewajarnya memahami tabii kehidupan manusia iaitu ibu bapa mereka akan tiba ke peringkat usia tua, tiada kekuatan, semakin lemah, memerlukan penjagaan dan mudah tersinggung. Kesedaran ini boleh dijadikan garis panduan untuk menjaga dan memberi layanan lebih mesra kepada ibu bapa seperti belaian kasih mereka kepada anak-anak ketika kecil. Islam turut menentang keras warga tua dijadikan mangsa maki-hamun. Dalam aspek ini, penghormatan tidak saja ditekankan kepada ibu bapa tetapi mereka yang lebih muda perlu juga menghormati golongan yang lebih tua.
Bukhari dan Muslim meriwayatkan, dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda, yang bermaksud :Sesungguhnya sebesar-besar dosa, apabila seorang lelaki mengutuk ibu bapanya. Ramai orang berasa takjub bagaimana seorang yang cukup akalnya, beriman kepada Allah boleh mengutuk ibu bapanya, padahal merekalah yang menyempurnakan kehidupan anak.

Lantas Baginda ditanya : Bagaimana seorang itu mengutuk ibu bapanya? Jawab baginda : Apabila orang itu memaki-maki ayah orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ayahnya. Kemudian dia memaki-maki ibu orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ibunya!

Nabi Muhammad pernah bersabda bermaksud: Sesiapa ketika paginya mendapat keredaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya, jika ketika pagi lagi sudah menyakiti hati ibu bapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka.
Ibu bapa orang yang wajib kita hormati dan taati. Perintah mentaati kedua-duanya jelas termaktub dalam al-Quran dan hadis. Buatlah apa yang disuruh asalkan suruhan itu tidak menjurus kepada sesuatu yang mungkar. Mengecilkan hati, melawan atau mengherdik orang tua dianggap sebagai derhaka. Menderhaka kepada ibu bapa dosa besar dan tidak akan mencium bau syurga, meskipun banyak beribadat Allah. Allah tidak menerima ibadat orang yang derhaka kepada ibu bapa. Dalam satu hadis, Nabi Muhammad ada bersabda, keredaan Allah bergantung kepada keredaan kedua-dua ibu bapa. Ini bermakna jika ibu bapa suka kepada kita, Allah turut meredai kita. Sebaliknya, jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, Allah turut memurkai kita.

Diriwayatkan, pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah mengenai perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta, malahan dalam dirinya sendiri ada hak ibu bapanya. Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Jika mereka masih hidup, layanlah mereka dengan sebaik mungkin. Tetapi jika sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala itu.

Ingatlah pesanan Rasulullah : Khabarkan berita gembira ini kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah mengampuni mereka. Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibu bapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya.

Marilah kita merenung sepotong ayat ayat al-Quran menerusi ayat 14 surah Luqman : Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai-susukannya dalam dua tahun.Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu ! kepadaKu tempat kembali. (Lukman:14). Sesungguhnya binasalah mereka yang mempunyai ibu bapa yang sudah lanjut usianya, sedangkan mereka tidak dapat berbakti kepada keduanya lalu perkara tersebut menjadi ujian kepada anak-anak tadi yang menyebabkan mereka terhalang daripada mencium Syurga Allah.

Ingatlah firman Allah ini : Ertinya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya dan kepada kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik. Dan kalau salah seorang diantara keduanya telah mencapai usia tuan, maka janganlah engkau mengatakan kepada keduanya cis dan janganlah engkau menengking keduanya, tetapi hendaklah engkau berkata kepada keduanya dengan perkataan yang hormat. Dan turunkanlah sayap merendahkan diri terhadap keduanyadengan belas kasihan dan katakanlah: Tuhanku, kasihanilah kiranya keduanya, sebagaimana keduanya telah membelaku dengan penuh kasih saying semasa aku kecil. (Al-Isra: 23-24).

Hakikatnya kita perlu ingat dan menginsafi bahawa sesungguhnya kita sebagai anak tidak mampu untuk membalas jasa kedua ibu bapa kita.Oleh itu,jika kita hendak membalas jasa kedua ibu bapa kita , kita digalakkan untuk berdoa kepada kedua ibubapa kita selepas selesai solat tidak kira ibu bapa kita masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Hakikatnya mereka adalah ibu bapa kita. Sekiranya mereka masih hidup, ambillah peluang untuk kita melayani mereka dengan sebaik mungkin.

Jika kita mahu anak-anak kita nanti berbakti kepada kita, kitalah yang sekarang ini perlu tunjukkan contoh yang baik daripada sekarang. Rebutlah peluang menjaga mereka ketika usia mereka meningkat senja dan layanilah mereka sepertimana mereka melayani kita sejak kita masih kecil. Jangan diguriskan hati ibubapa kita sehingga hatinya tertutup untuk tinggal atau singgah lama dirumah kita kerana layanan yang kurang menarik daripada kita yang bergelar anak.

Akhir sekali, buat Mama dan semua kaum ibu yang tercinta sesungguhnya kasih sayangmu membawa kami ke syurga dan itulah tempat idaman setiap mereka yang bergelar insan anak dan ibu. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya untuk masuk ke neraka kerana ketelanjuran anaknya.

Buat sahabat dan sahabiah yang bergelar anak, sayangilah IBU KITA sesungguhnya merekalah PERMATA HATI KITA . Dengan kasih sayangnya membawa kita ke syurga. Amiin.

No comments: