9.18.2010

Bahayanya Ilmu



Islam menyuruh kita belajar. Islam mahu seseorang
Muslim itu, lelaki mahupun perempuan supaya
menuntut ilmu. Tak boleh berhenti. Mencari ilmu bermula dari dalam buaian hinggalah ke liang lahad. Hendak dunia kena ada ilmu, hendak Akhirat pun kena ada ilmu. Tidak sama orang yang ada ilmu itu dengan orang yang tidak ada ilmu. Tuhan mengangkat orang yang ada ilmu itu beberapa darjat.Orang yang ada ilmu itu kekasih Tuhan. Orang yang jahil itu
musuh dan seteru Tuhan.

Kalau begitulah kedudukan ilmu dalam Islam, kenapa pula
ianya boleh jadi bahaya? Ini kerana ilmu itu ibarat pedang. Ilmu
itu adalah senjata. Itu sebab Islam menyuruh kita mencari ilmu
supaya kita mempunyai dan memiliki senjata.
Tapi ada senjata sahaja tidak cukup. Kita kena tahu bagaimana
cara hendak menggunakan senjata itu. Kalau tersalah guna, kita
boleh membahayakan diri kita dan juga orang lain. Lebih-lebih
lagilah kalau orang yang ada senjata itu orang jahat. Akan digunakan
senjata Pedang tidak salah. Senjata tidak salah. Tetapi tuan
punya pedang mungkin menyalahgunakannya. Di situlah letaknya
bahaya ilmu. Bukan pada ilmunya tetapi pada pemiliknya.
Seperti juga dalam angkatan tentera dan pasukan polis, bukan
sahaja kemahiran mengguna senjata ditekankan pada anggotanya
tetapi soal disiplin dan tata tertib juga sangat diambil berat. Ini
untuk menjamin senjata api yang ada di tangan anggota tentera
dan polis tidak disalahgunakan. Kalau digunakan, ianya khusus
untuk menjaga keselamatan dan untuk menumpaskan musuh
masyarakat dan musuh negara.

Begitu juga adalah sangat bahaya kalau orang yang ada ilmu
itu tidak kenal Tuhan. Sebab orang yang tidak kenal Tuhan bukannya
orang yang baik. Orang yang ada ilmu, walaupun ilmu
agama atau ilmu Islam sekalipun, kalau dia tidak kenal Tuhan,
dia akan menyalahgunakan ilmunya itu. Apabila Tuhan dia tidak
kenal, dia akan melupakan Tuhan. Dia akan tinggalkan Tuhan.
Akhirnya dia akan kehilangan Tuhan. Dia seolah-olah hidup
tanpa Tuhan.

Apabila Tuhan yang hak sudah tidak wujud lagi dalam hidupnya,
maka tuhan yang palsu akan mengambil alih. Dia akan
menabalkan dirinya sendiri sebagai tuhan. Secara tepatnya, dia
akan mengangkat nafsunya menjadi tuhan. Apa pun yang dia
buat selepas itu adalah berpandukan kehendak dan kemahuan
nafsunya semata-mata. Nafsunyalah yang menjadi tunggak dan
pendorong utama dalam hidupnya. Kita tahu bahawa nafsu
hanya berkehendak. Dia tidak kira halal atau haram. Hak atau
batil. Dosa atau pahala.

Justeru itu, segala ilmu yang ada padanya, walaupun ilmu
usuluddin, ilmu syariat, ilmu tasawuf, ilmu hadith, ilmu tafsir
dan sebagaiya, lebih-lebih lagilah ilmu yang berbentuk duniawi
akan digunakannya hanya untuk memburu dunia. Ilmu itu akan
digunakan untuk mendapat wang dan imbuhan, untuk mendapat
pangkat dan jawatan, untuk glamour, untuk mendapat pujian
dan populariti, untuk bermegah-megah, untuk mendapat pengaruh
dan bermacam-macam lagi kepentingan yang berbentuk
peribadi dan duniawi.

Ilmu bukan lagi untuk menghampirkan dirinya pada Tuhan.
Bukan lagi untuk mengabdikan diri dan berbakti pada Tuhan.
Bukan lagi untuk berlaku taat dan bertaqwa kepada Tuhan. Ilmu,
termasuk ilmu agama dan ilmu Islam akan dijadikan modal
untuk mencari nafkah dan sara hidup, untuk mengumpul harta
dan kekayaan dan untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan
dunia yang sedikit.

Dengan itu, ilmu terutamanya ilmu agama dan ilmu Islam,
mudah sahaja diselewengkan, disorok, disalahtafsir, diubah-suai,
diringan-ringankan dan dipadankan mengikut kehendak pihakpihak
tertentu demi untuk menentukan keuntungan duniawinya
tidak terjejas. Ia tidak lagi dijadikan panduan atau petunjuk.
Akhirnya masyarakat jadi rosak, agama jadi rosak, negara jadi
rosak, manusia bertambah jauh dari Tuhan dan bertambah jahat.
Orang yang ada ilmu terutama ilmu agama yang tidak kenal
Tuhan ini dinamakan ulamak suk atau ulamak jahat. Rasulullah
menyuruh kita lari daripada ulamak macam ini seperti mana kita
lari dari harimau atau singa yang ganas. Mereka ini lebih bahaya
dari harimau dan singa.

Itulah sebabnya juga Islam sangat menekankan tentang
“Awaluddin ma’rifatullah” atau “Awal-awal agama mengenal
Allah”. Kalau Allah kita tidak kenal, maka segala apa yang ada
pada kita termasuk ilmu, ibadah, usaha dan kebaikan kita tidak
ada makna apa-apa. Kita tidak akan mampu berbuat sesuatu apa
pun dan menggunakan apa yang ada pada diri kita untuk Tuhan.
Kita akan jadi orang yang hanya menggunakan ilmu dan apa
sahaja yang ada pada diri kita mengikut kehendak hawa nafsu
kita sahaja.

Sumber : Suhaimi Abdul Rahim

9.17.2010

Rosak Fitrah Rosaklah Agama






Fitrah itu ibarat tanah. Jiwa ibarat pokok yang tumbuh
di atasnya. Kalau fitrah itu suci dan bersih, jiwa akan
hidup. Kalau ia kotor dan tercemar, jiwa akan luntur dan mati. Jiwa tidak dapat hidup di atas fitrah yang kotor dan tercemar

Kita dibekalkan oleh Tuhan dengan fitrah yang suci dan
murni. Supaya di atas fitrah yang suci dan murni itu, jiwa kita
dapat hidup subur. Sucinya fitrah kita itu kerana adanya rasa
bertuhan. Ditanam rasa bertuhan itu ke dalam fitrah kita di alam
roh lagi manakala Tuhan bertanya kepada sekalian para roh:
“Alastu birabbikum”. Bukankah Aku Tuhan kamu? Para roh
serentak menjawab: “Bala syahidna”. Bahkan, kami naik saksi.
Firman-Nya:

Maksudnya: “Dan Allah mengambil kesaksian terhadap
roh mereka (seraya berfirman): ‘Bukankah Aku Tuhan
kamu?’ Mereka menjawab: ‘Bahkan, kami naik saksi’.”
(Surah al-A’raf: 172)

Akan tetapi fitrah manusia tidak semestinya kekal suci dan
bersih. Dia boleh dikotori dan dicemari oleh dunia. Apabila fitrah
 itu ibarat tanah. Jiwa ibarat pokok yang tumbuh
di atasnya. Kalau fitrah itu suci dan bersih, jiwa akan
hidup. Kalau ia kotor dan tercemar, jiwa akan luntur
dipengaruhi oleh dunia, dia akan rosak dan tercemar. Lebih-lebih
lagilah kalau dunia sudah masuk dan tersemat di dalam hati
sanubari.

Apabila fitrah telah dirosakkan oleh dunia, dia akan jauh dari
Tuhan. Lama kelamaan, dia akan lupakan Tuhan. Orang yang
sudah rosak fitrahnya ialah orang yang sudah lupa dan kehilangan
Tuhan. Tempat Tuhan diganti dengan dunia. Tidak akan
berkumpul rasa bertuhan dan rasa cinta dunia dalam fitrah
manusia pada masa yang sama. Kalau datang satu, yang satu
lagi akan lenyap. Begitu juga sebaliknya. Tuhan tidak jadikan
dua hati dalam diri anak Adam. Hati itu, sama ada dia cinta Tuhan
atau dia cinta dunia. Dia tidak boleh mencintai kedua-duanya
pada satu masa.

Jiwa itu raja dalam diri. Dia akan lemah dan mati, sekiranya
fitrah rosak. Bila jiwa sudah lemah atau mati, dia tidak akan dapat
berfungsi dan berperanan lagi. Dia seperti raja yang gering atau
sudah mangkat. Tidak boleh lagi memerintah dalam kerajaan diri.
Akan timbul vakum dalam pemerintahan. Akan terjadi rebutan
kuasa.

Yang pertama yang akan menuntut kebebasan ialah nafsu.
Bila fitrah sudah dirasuk oleh dunia, nafsu bertambah kuat dan
terangsang. Nafsu tidak suka dikongkong. Nafsu suka bebas
mengikut apa sahaja kehendak dan kemahuannya. Nafsu akan
mengambil alih tampuk pemerintahan. Tidak ada siapa lagi yang
akan dapat menahan, mengekang dan mengawalnya. Dia seperti
beraja di mata dan bersultan di hati.

Akal pula akan terumbang-ambing. Dia seperti kehilangan
tuan. Kalau dahulu dia mengikut arahan jiwa tetapi sekarang
dia ditakluk dan dijajah oleh nafsu. Maka akal pun bekerja untuk
nafsu. Makin bijak akal, makin terserlah kejahatan nafsu.
Nafsu juga, kerana sifatnya yang jahat dan rakus itu tidak
pernah puas mengejar dan memburu dunia. Dia berebut-rebut,
menekan dan menindas untuk mendapatkan sebanyak mungkin
dunia ini. Dia tidak ubah seperti anjing yang merebut-rebut dan
mengkeronyok bangkai.

Jiwa yang mati ibarat pokok yang sudah tumbang dan reput.
Disebabkan sifat nafsu yang jahat dan rakus ini, maka akan
tumbuh pada jiwa atau hati yang mati itu berbagai-bagai penyakit
seperti cendawan atau kulat yang tumbuh pada kayu yang reput.
Penyakit-penyakit ini ialah sifat-sifat keji atau mazmumah seperti
sombong, angkuh, ego, hasad dengki, panas baran, tamak haloba,
pemarah, pendendam, bakhil dan berbagai-bagai lagi. Nafsu yang
jahat akan menyuburkan sifat-sifat mazmumah.

Penyakit-penyakit hati inilah punca segala kesusahan, kesengsaraan
dan penderitaan manusia. Ia punca manusia bergaduh,
berkelahi dan berkrisis. Ia punca manusia hilang perpaduan
dan berpecah-belah. Ia memusnahkan ukhuwah dan
kasih sayang. Ia mendorong manusia melakukan jenayah dan
kezaliman. Akhirnya manusia menjadi jahat, zalim dan tidak
berperikemanusiaan. Mereka bunuh membunuh dan berperang
sesama sendiri.


Yang bergaduh dan berperang itu sebenarnya bukan tangan
dan kaki manusia. Yang bergaduh dan berperang itu ialah
penyakit-penyakit dan sifat-sifat mazmumah yang tumbuh dan
bersarang di hati-hati manusia. Sombong orang ini bergaduh
dengan panas baran orang itu. Bakhil orang ini bertembung
dengan hasad dengki orang itu dan seterusnya.
Maka huru-haralah hidup manusia. Masyarakat manusia dipenuhi
dengan kekejaman, penindasan, penzaliman, rompakan,
rogol, zina, arak, dadah, judi, krisis, pergaduhan, peperangan
dan bunuh membunuh. Manusia menjadi cemas dan hidup
dalam ketakutan dan kebimbangan. Hidup manusia tidak
selamat. Hidup di dunia dirasakan seperti dalam neraka.

Inilah akibatnya kalau kesucian fitrah tidak dijaga. Inilah
kesannya kalau fitrah dibiarkan tercemar dan dikotori oleh dunia.
Islam itu agama fitrah. Maksudnya bukan sahaja Islam itu
memenuhi segala kehendak dan tuntutan fitrah manusia dan
bukan sahaja segala hukum hakam dalam agama Islam itu sesuai
dengan kehendak dan tuntutan fitrah manusia, tetapi juga Islam
menuntut supaya kesucian fitrah itu sentiasa dijaga dan dipelihara.
Kalau kesucian fitrah itu dicemari dan fitrah itu dirosakkan,
maka kita akan dapati sukar untuk berpegang kepada Islam.
Rosak fitrah maka rosaklah Islam kita. Kita tidak akan dapat
mengikuti lunas-lunas Islam, lebih-lebih lagi untuk rasa bertuhan,
rasa kehambaan dan untuk mengamal dan menghayatinya lahir
dan batin. Kita akan tersimpang daripada Islam. Jiwa kita akan
mati dan nafsu kita akan bermaharajalela. Nafsu kitalah yang
akan kita turutkan.

Kalau inilah keadaan yang melanda umat manusia masa kini,
apakah yang harus kita buat? Apakah jalan keluar yang terbuka
untuk kita? Tidak lain tidak bukan, kita terpaksa kembali kepada
Tuhan. Mahu tidak mahu, kita terpaksa tanam semula rasa
bertuhan dalam hati-hati kita. Kita terpaksa buang jauh-jauh cinta
dunia yang bersarang dan mencengkam hati-hati kita itu. Kita
mesti gantikan cinta dunia kita itu dengan cinta Akhirat.
Tuhan dan rasa bertuhan, rasa kehambaan dan cinta akhirat
inilah yang akan membantu kita memperbaiki diri. Rasa-rasa
inilah yang akan membantu kita bermujahadah melawan hawa
nafsu. Rasa-rasa inilah yang akan membantu kita membuang
sifat-sifat mazmumah dari hati. Rasa-rasa inilah yang akan
membantu kita menghias hati kita dengan sifat-sifat mahmudah
yang terpuji. Bila ini dapat kita lakukan secara istiqomah, maka
lama kelamaan hati kita dari hari ke hari akan menjadi bertambah
bersih. Fitrah kita akan kembali kepada keadaan asal semulajadinya
yang suci dan murni.

Di atas fitrah yang suci dan murni inilah, jiwa kita akan
kembali hidup dan subur. Dia akan kembali berfungsi dan
berperanan sebagai raja dan pemerintah dalam diri. Jiwa yang
hidup akan terangsang dengan Tuhan dan hari akhirat. Bila jiwa
sudah rasa bertuhan, dia seolah-olah mendapat kekuatan dari
Tuhan untuk mengawal dan mengekang nafsunya.
Nafsu tidak takut dengan kita. Kalau kita hendak didik nafsu
atas usaha kita sendiri, nafsu akan ketawakan kita. Nafsu hanya
takut dengan Tuhan. Oleh itu, untuk mendidik nafsu, kita
terpaksa bersandar dengan Tuhan. Kita kena dapat kekuatan dari
Tuhan. Kita kena rasa bertuhan.
Pernah apabila Tuhan bertanya
kepada nafsu tentang keberadaannya, nafsu menjawab kepada
Tuhan “engkau, engkau, aku aku” hingga Tuhan rejam nafsu
selama seribu tahun dalam neraka. Dengan Tuhan pun nafsu
angkuh. Inikan pula dengan kita.

Setiap bayi dilahirkan dengan fitrah yang suci dan murni ini.
Jangan dicemar atau dikotori fitrah ini. Kalau dicemar atau
dikotori, akibatnya manusia akan kehilangan Tuhan. Manusia
akan rosak keinsanannya. Jiwa manusia akan mati. Nafsunya
akan bermaharajalela dan hatinya akan binasa. Dia akan menjadi
haiwan yang bertopengkan manusia. Rosak fitrah, maka rosaklah
agama.




9.16.2010

5 Syarat Untuk Melakukan Maksiat.....Silakan....






 Assalamualaikum dan selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin....rasanya belum terlambat untuk mengucapkannya...hehehe....dah lama saya tak post blog...hari ni ada kesempatan itupun ambil daripada FB KBSB...Jika bulan Ramadhan, Segala Syaitan dirantai kecuali Manusia yang bertopengkan Syaitan...Bila tiba Syawal, Syaitan jadi takut sebab ramai manusia yang perangai lebih daripada Syaitan....Semoga rencana di bawah ini memberikan faedah kepada pembaca sekalian....Jika nak buat maksiat tu, fikir-fikirkanlah....peringatan bersama....Selamat Membaca !!!!

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”
Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”
Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.”
Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”
“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya?”
“Yang kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!”
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”
“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.
Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!”
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”
“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.”
Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”
“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”
“Baiklah, apa syarat yang kelima?”
Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”
Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah.” katanya sambil terisak-isak.


Diperoleh dari FB KBSB

9.03.2010

TIPS HARI-HARI TERAKHIR RAMADHAN

Oleh ; Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

RAMADHAN semakin hari bakal meninggalkan kita. Bulan yang penuh rahmat, pengampunan dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang mengikhlaskan pengabdian diri kepada Allah s.wt. Oleh itu rebutlah peluang dengan baki hari yang ada, setiap jam yang dilalui, setiap minit yang berdetik dan setiap saat masa yang berlalu untuk mempastikan Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita semua.

*
Berkorbanlah dengan masa, tenaga dan segala-galanya untuk mencari malam Lailatul Qadar kerana di malam ini Allah menjanjikan ganjaran yang teramat besar di samping doa-doa yang akan dimakbulkan Allah s.w.t. Beri'tikaflah, bangunlah dan persembahkanlah rintihan, harapan dan taubat kerana malam itu hanya berlaku sekali dalam setahun
*
Hari-hari terakhir Ramadhan juga adalah hari-hari di mana Allah memadam nama-nama manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Na'uzubillah... Oleh itu perbanyakkanlah doa, basahi lidah dengan istighfar kepada Allah, sesali lah segala dosa-dosa yang dilakukan, dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi kerana sesungguhnya Allah amat ternanti-nanti permohonan ampun dari hamba-Nya
*
Luangkanlah masa 4-5 minit sebelum berbuka puasa untuk memperbanyakkan doa kepada Allah dan beristighfar kerana detik-detik itu menjadi satu masa mustajab doa
* Perbanyakkan lagi amalan-amalan membaca Al-Quran, bersedekah, sembahyang sunat dan segala perkara kebaikan kerana ingatlah hanya amalan sahaja yang akan menemani kita di saat kita berseorangan di alam barzakh

Sama-samalah kita istiqamah melakukan ibadah kepada Allah dan gunakanlah kesempatan masa yang diberikan Allah ini dengan sebaiknya kerana belum tentu Ramadhan akan datang kita dapat tempuhi lagi.

Wallahua'lam